Soalan:
Assalamu’alaikum Dato’ Seri. Apa hukum hasil pekerjaan daripada sijil ijazah yang diperoleh daripada hasil meniru ketika peperiksaan ?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Secara umumnya, perbuatan meniru dalam peperiksaan termasuk dalam perbuatan menipu dan perbuatan menipu adalah haram serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”
Riwayat Muslim (101)
Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:
فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).”
(Surah Ibrahim: 36)
Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)
Maka, jelaslah kepada kita bahawa perbuatan menipu itu bukan daripada ajaran Islam. Seseorang boleh mendakwa dan menganggap bahawa perbuatan meniru itu hanyalah perkara kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Hakikatnya, perbuatan menipu itulah antara punca utama yang menyebabkan timbulnya pelbagai masalah dan barah dalam masyarakat seperti budaya rasuah yang berleluasa, penipuan sijil dan seumpamanya, sehingga akhirnya orang yang bukan berkeahlian memegang jawatan penting dalam masyarakat, lalu membawa kepada kebinasaan.
Tambahan pula, dengan beranggapan bahawa budaya meniru atau menipu dalam peperiksaan ini hanyalah suatu perkara kecil, dikhuatiri kelak ia dianggap sebagai suatu perkata yang biasa tanpa lagi ada rasa bersalah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”
Riwayat al-Bukhari (6094)
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/160)
Hasil Pekerjaan Daripada Sijil Ijazah Yang Diperoleh Hasil Meniru Ketika Peperiksaan
Meniru di dalam peperiksaan termasuk di dalam penipuan yang tergolong dari dosa-dosa besar. Namun jika sekiranya ia sudahpun berlaku, dan pelakunya juga menginsafi akan perbuatannya tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi, disamping mampu melaksanakan tugas kerjanya dengan sempurna, maka hendaklah pelakunya itu bertaubat dengan taubat nasuha dan berazam untuk tidak mengulanginya semula selama-lamanya.
Selain itu, pelaku hendaklah meningkatkan ilmu dan kemahiran diri supaya dapat menjalankan amanah dengan lebih baik dengan kerja dan jawatan yang diperolehinya. Oleh itu, dia berhak untuk menduduki jawatan itu dan menerima bayaran dan gaji berdasarkan kebolehan serta kemampuan dalam menjalankan tugas tersebut, menjadikan rezeki itu halal baginya.
Kami juga ingin menasihatkan supaya pelakunya itu memperbanyakkan bersedekah dengan hasil yang diperolehi daripada pekerjaan tersebut supaya menjadi berkat dan diredhai Allah SWT. Selain itu, perbuatan meniru di dalam peperiksaan haruslah dihindarkan oleh sesiapa sahaja kerana ia merupakan penipuan dan hendaklah kita bersikap jujurlah dan amanah terhadap diri sendiri dengan memperoleh keputusan bersesuaian dengan apa yang telah kita usahakan. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا»
Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”
Riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2607)
Syeikh Abd al-Aziz bin Baz ketika ditanya tentang seorang pelajar yang memperolehi ijazah daripada sebuah universiti, namun ketika peperiksaan dia sering melakukan beberapa bentuk penipuan seperti meniru daripada nota atau dari rakannya. Hasil ijazah tersebut dia berjaya mendapatkan pekerjaan, dan sudah tentu dia akan menerima gaji bulanan, persoalannya apakah gaji yang diterimanya itu halal ataupun haram? Maka beliau menjawab: “Dia wajib bertaubat kepada Allah dari perbuatan menipu dalam peperiksaan yang telah dia lakukannya itu dan menyesal dari perbuatan tersebut, adapun kerja dan gaji yang diperolehinya adalah halal, selama-mana dia melaksanakan tugas yang dipikulkan ke atasnya, segala pujian untuk Allah. Akan tetapi seperti yang telah kami nyatakan, dia wajib bertaubat kepada Allah dari perbuatan yang buruk dan mungkar itu, dan taubat dapat menghapuskan dosa-dosa yang lalu.” (Liha Majmu’ Fatawa, 19/31).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kerja dan gaji serta hasil yang diperoleh oleh orang yang mendapatkan ijazah dengan cara meniru dalam peperiksaan adalah halal, selama-mana dia melaksanakan tugas, kerja dan amanah yang dipikulkan ke atasnya, namun dia wajib bertaubat kepada Allah dari perbuatan menipu dalam peperiksaan yang telah dia lakukannya itu dan menyesal dari perbuatan tersebut.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
ldy pernah terfikir tentang ini, dulu guru2 sek rendah perlu belajar balik dan ambil ijazah.. sebahagian besar dari mereka mengupah orang untuk buat assigment/tugasan.. adakah halal juga dgn cara tersebut? sebab nanti mereka dapat ijazah dan hasil assigment tu pun dikira sebahagian dari result peperiksaan.
BalasPadamTq sharing SR 👍
BalasPadamkesian pada mereka yg struggle utk lulus kan, moga anak-anak kita dijauhkan dari berbuat sebegitu
BalasPadamSetiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di blogsyaznirahim@gmail.com :)
Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at blogsyaznirahim@gmail.com :)
Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.
What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.
Disclaimer: Unauthorized Use of Photos
All photos on this blog are the exclusive property of syaznirahim.com. These images may not be downloaded, copied, reproduced, or used in any form without prior written permission from the owner. Unauthorized use of these photos is strictly prohibited and may result in legal action. If you wish to use any of the photos, please contact me for permission and licensing terms. Thank you for respecting our rights and the privacy of the individuals depicted.
Penafian: Penggunaan Foto Tanpa Kebenaran
Semua foto di blog ini adalah hak milik eksklusif syaznirahim.com. Imej-imej ini tidak boleh dimuat turun, disalin, dihasilkan semula, atau digunakan dalam apa-apa bentuk tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik. Penggunaan foto-foto ini tanpa kebenaran adalah dilarang keras dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang. Jika anda ingin menggunakan mana-mana foto, sila hubungi saya untuk mendapatkan kebenaran dan syarat pelesenan. Terima kasih kerana menghormati hak kami dan privasi individu yang digambarkan.