Sahur sebaiknya selesai sebelum masuknya waktu iaitu sebelum azan agar tidak timbul syubhah |
Soalan:
Umum mengetahui bahawa waktu imsak masuk 10 minit sebelum waktu subuh. Adakah dengan masuknya waktu imsak tersebut maka kita tidak lagi boleh untuk makan dan minum kerana telah bermulanya puasa?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Diantara perkara-perkara sunat di dalam berpuasa adalah dengan mengakhirkan bersahur. Mengakhirkan di sini bermakna melewatkan proses bersahur tersebut. Seperti yang kita maklum, di Malaysia, masuknya waktu imsak adalah 10 minit sebelum masuknya waktu subuh. Terkadang timbulnya persoalan dan kekeliruan adakah waktu imsak itu waktu bermulanya puasa. Untuk membincangkan isu ini mari sama-sama kita renungi firman Allah SWT ini:
وَكُلُواْ وَٱشۡرَبُواْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَيۡطُ ٱلۡأَبۡيَضُ مِنَ ٱلۡخَيۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِۖ ثُمَّ أَتِمُّواْ ٱلصِّيَامَ إِلَى ٱلَّيۡلِۚ
Maksudnya: dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)
(Al-Baqarah: 187)
Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa ayat di atas memberi kebenaran untuk makan dan minum sehingga ternampaknya cahaya subuh (fajar sadiq) dari kegelapan malam.[1]
Terdapat beberapa hadith yang lain menceritakan tentang sifat sahur Nabi ﷺ serta arahan Baginda ketika bersahur, antaranya:
تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ: كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً.
Maksudnya: Kami telah bersahur bersama Nabi SAW kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”.
Riwayat Al-Bukhari (1921) & Al-Tirmizi (703)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani di mengatakan kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana. Tidaklah ayat yang penjang, tidak juga ayat yang terlalu pendek.[2]
Dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Bilal azan pada waktu malam, maka makan dan minumlah sehingga azannya Ibn Umm Maktum”.
Riwayat al-Bukhari (620)
Ketika zaman Rasulullah ﷺ , azan subuh dilaungkan sebanyak dua kali. Sekali sebelum masuknya waktu subuh untuk memberikan peringatan manakala azan yang kedua bermaksud telah masuknya waktu subuh. Berdasarkan hadith di atas, Bilal RA azan pada waktu malam menunjukkan bahawa beliau melaungkan azan yang pertama iaitu sebelum masuknya waktu subuh (diiktibarkan pada waktu malam). Maka, Rasulullah ﷺ memberikan keizinan untuk makan dan minum pada waktu tersebut (untuk bersahur). Sekiranya telah azan Ibn Umm Maktum RA untuk azan yang kedua, maka ia menunjukkan bahawa waktu subuh telah masuk dan telah bermulanya waktu berpuasa. Iktibarnya di sini adalah masuknya waktu iaitu terbitnya fajar al-sadiq dengan berkumandangnya azan.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ menyebutkan:
“Telah kami sebutkan sekiranya telah terbit fajar dan padanya (di dalam mulutnya) terdapat makanan, maka perlu dia mengeluarkan makanan tersebut dan kemudian sempurnakan puasanya. Sekiranya dia menelan apa yang ada di dalam mulutnya itu, setelah mengetahui terbitnya fajar al-sadiq, maka batallah puasanya. Dalilnya adalah hadith daripada Ibn ‘Umar dan ‘Aisyah R.Anhum yang mana Rasulullah ﷺ bersabda: إِنَّ بِلاَلاً يُنَادِي بِلَيْلٍ، فَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُنَادِيَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ (hadith seperti di atas)…”.[3]
Kesimpulan
Setelah melihat kepada dalil serta nas yang terdapat di dalam perbahasan ini, kami katakan di sini bahawa waktu imsak (10 minit sebelum masuknya waktu subuh) bukanlah waktu bermulanya puasa. Maka pada tempoh tersebut dibolehkan lagi untuk makan dan minum. Namun, sekiranya telah kedengaran azan subuh, maka hendaklah berhenti serta merta dan kemudian sempurnakan puasa tersebut sehingga masuk waktu berbuka.
Kami melihat bahawa waktu imsak yang selama 10 minit itu ada asasnya sebagai waktu untuk ihtiyat (berjaga-jaga) agar tidak makan melebihi waktu yang telah ditetapkan yang mana boleh membatalkan puasa seseorang itu. Kami amat bersetuju dengan waktu imsak ini dan sekiranya seseorang yang bangun lewat untuk bersahur dan masa masih berbaki untuk beliau bersahur di dalam waktu imsak, maka ianya dibolehkan dan ianya tidak pula memudharatkan puasanya pada hari tersebut. Oleh itu, kami mencadangkan agar sahur itu diselesaikan sebelum masuknya waktu iaitu sebelum azan agar tidak timbul syubhah (keraguan).
Akhir kalam, suka untuk kami menyebutkan antara hikmah mengapa disunatkan untuk melewatkan sahur itu, agar muslim khususnya lelaki dapat terus bersiap sedia untuk menunaikan solat subuh yang mana jika seseorang itu mengawalkan sahurnya, boleh jadi dia akan tidur sejurus selepas bersahur dan kebarangkalian untuk dia terlepas waktu subuh amat besar. Amat tidak patut bagi seseorang muslim itu mengejar yang sunat namun meninggalkan perkara yang wajib.
Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
pernah terbaca juga pasal hukum ini, sebab tu waktu imsak tu selalu 10 ke 15minit sebelum waktu azan subuh kan
BalasPadamsyukran for sharing...ramai gak yg bersahur pkl 12 tgh mlm..
BalasPadamSalam Ramadhan Kareem Syaz...
BalasPadamMohon maaf lahir dan batin
good sharing....tq syaz!
BalasPadamSelamat berpuasa kita!
BalasPadamTerima kasih atas perkongsian
BalasPadamterima kasih atas perkongsian..memang kena berhati- hati...kadang leka..dah sampai imsak..memang x boleh la minum ke makan lagi ke...
BalasPadamSetiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di blogsyaznirahim@gmail.com :)
Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at blogsyaznirahim@gmail.com :)
Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.
What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.
Disclaimer: Unauthorized Use of Photos
All photos on this blog are the exclusive property of syaznirahim.com. These images may not be downloaded, copied, reproduced, or used in any form without prior written permission from the owner. Unauthorized use of these photos is strictly prohibited and may result in legal action. If you wish to use any of the photos, please contact me for permission and licensing terms. Thank you for respecting our rights and the privacy of the individuals depicted.
Penafian: Penggunaan Foto Tanpa Kebenaran
Semua foto di blog ini adalah hak milik eksklusif syaznirahim.com. Imej-imej ini tidak boleh dimuat turun, disalin, dihasilkan semula, atau digunakan dalam apa-apa bentuk tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik. Penggunaan foto-foto ini tanpa kebenaran adalah dilarang keras dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang. Jika anda ingin menggunakan mana-mana foto, sila hubungi saya untuk mendapatkan kebenaran dan syarat pelesenan. Terima kasih kerana menghormati hak kami dan privasi individu yang digambarkan.