Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu soalan. Saya selalu melihat ada orang berwuduk dan membasuh anggota wuduk berkali-kali. Mencuci wajah dan tangan berkali-kali, berkemugkinan empat atau lima kali. Apakah hukumnya serta adakah ia dibenarkan? Harap Datuk Mufti dapat beri pencerahan.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”
(Surah al-Maidah : 6)
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82)
Anggota-anggota wuduk yang wajib untuk dibasuh
Oleh itu, secara ringkasnya kita dapat ketahui bahawa anggota wuduk yang wajib dibasuh ialah :
- Seluruh muka beserta niat.
- Membasuh tangan hingga ke siku.
- Membasuh sebahagian daripada kepala sekurang-sekurangnya membasahkan tiga helai rambut
- Membasuh kaki sehingga ke buku lali.
- Hendaklah membasuh anggota-anggota tadi mengikut tertib.
Selain daripada anggota-anggota wajib tersebut maka hukumnya adalah sunat yang sangat dituntut (sunat muakkad). Ini seperti membaca Basmalah ketika mula mengambil wuduk, membasuh tangan sebelum memasukkannya ke dalam bekas air, berkumur, memasukkan air ke dalam hidung, membasuh seluruh kepala, membasuh kedua-dua telinga, memulakan setiap anggota dengan anggota sebelah kanan, melaksanakannya secara berturut-turut, menggosok, membasuh setiap anggota dengan tiga kali basuhan dan lain-lain. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 20)
Sunat membasuh setiap anggota wuduk dengan tiga kali basuhan
Terdapat banyak riwayat yang menunjukkan bagaimana wuduk Nabi SAW. Para ulama telah menyatakan bahawa termasuk dalam perkara sunat ialah membasuh anggota wuduk sebanyak tiga kali sebagaimana riwayat Usman bin Affan RA bahawa :
أَنَّهُ دَعَا بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ عِنْدَ الْمَقَاعِدِ، فَتَوَضَّأَ ثَلاثًا ثَلاثًا، ثُمَّ قَالَ لِأَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هَلْ رَأَيْتُمْ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَلَ هَذَا ؟ قَالُوا : نَعَمْ
Maksudnya : “Beliau (Usman) telah meminta air dan berwuduk berdekatan tempat duduk. Beliau telah berwuduk sebanyak tiga kali, tiga kali. Kemudian berkata kepada para sahabat Nabi SAW : Adakah kamu semua telah melihat Rasulullah SAW melakukan begini? Mereka menjawab : Ya.” Riwayat Ahmad (488). Menurut Syeikh Syuaib al-Arnaut sanadnya adalah kuat. (Lihat Musnad Ahmad, Cet. Muassasah al-Risalah, 1/523)
Syeikh Daud al-Fatani menyatakan bahawa dikira tiga kali bagi air yang mengalir dengan melalui tiga kali olak (pengaliran) air ke atas anggota berkenaan, dan bagi air yang tenang dengan digerak-gerakkan anggota sebanyak tiga kali. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/54)
Membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali basuhan
Walau bagaimanapun, di dalam riwayat Abdullah bin Amr ada menceritakan bahawa :
جاءَ أعرابيٌّ إلى النَّبيِّ -ﷺ- يسألُهُ عنِ الوُضوءِ؟ فأراهُ الوُضوءَ ثلاثًا، ثمَّ قالَ : هكَذا الوُضوءُ فمَن زادَ على هذا فقَد أساءَ وتعدّى، وظلمَ
Maksudnya : “Seorang Arab Badwi telah datang bertemu Nabi SAW, bertanyakan mengenai (cara) wuduk? Baginda telah mengajarkannya supaya berwuduk dengan tiga kali basuhan (bagi setiap anggota). Kemudian, baginda bersabda : Beginilah cara berwuduk (yang benar), sesiapa yang menambah daripada ini (melebihi 3 kali basuhan), maka dia telah melakukan keburukan, melampaui batas dan berlaku zalim.” Riwayat al-Nasaie (140)
Para ulama telah menyatakan bahawa membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali adalah makruh hukumnya. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan :
وَقَدْ أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ عَلَى كَرَاهَةِ الزِّيَادَةِ عَلَى الثَّلَاثِ وَالْمُرَادُ بِالثَّلَاثِ الْمُسْتَوْعِبَةِ لِلْعُضْوِ وَأَمَّا إِذَا لَمْ تَسْتَوْعِبِ الْعُضْوَ إِلَّا بِغَرْفَتَيْنِ فَهِيَ غَسْلَةٌ وَاحِدَةٌ
Maksudnya : “Para ulama telah bersepakat (Ijma’) bahawa hukumnya adalah makruh (membasuh anggota wuduk) melebihi tiga kali. Dan yang dimaksudkan dengan tiga kali basuhan tersebut ialah aliran air yang mengenai seluruh anggota. Adapun, jika tidak dapat mengalirkan air (membasuh) ke seluruh anggota melainkan dengan dua kali siraman. Maka, dua kali siraman itu, baru dikira satu kali basuhan.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/109)
Imam Syafie juga ada menyebutkan mengenai perkara ini di dalam kitabnya :
وَلَا أُحِبُّ لِلْمُتَوَضِّئِ أَنْ يَزِيدَ عَلَى ثَلَاثٍ وَإِنْ زَادَ لَمْ أَكْرَهْهُ
Maksudnya : “Dan aku tidak suka bagi seseorang yang berwuduk untuk menambah (dalam basuhannya) melebihi tiga kali. Akan tetapi, sekiranya dia menambah (melebihi), aku tidak memakruhkannya.” (Lihat al-Umm, 1/47)
Imam al-Nawawi menerangkan bahawa maksud perkataan Imam Syafie ‘tidak memakruhkannya’ di atas ialah ‘tidak mengharamkannya’. Begitu juga, dengan kenyataan Imam Syafie yang lain menyebutkan bahawa beliau tidak suka jika seseorang melebihi 3 kali basuhan (ketika berwuduk), akan tetapi sekiranya dia buat, perkara tersebut tidak memudaratkannya iaitu tidak berdosa. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/439) Ini menunjukkan bahawa perbuatan melebihi tiga kali basuhan bagi setiap anggota ketika berwuduk adalah makruh.
Sekalipun membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali makruh hukumnya, perbuatan tersebut tidak membatalkan wuduknya selagi mana air diratakan ke seluruh anggota wuduk dengan sempurna. Wuduknya tetap sah. Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi :
إذَا زَادَ عَلَى الثَّلَاثِ فَقَدْ ارْتَكَبَ الْمَكْرُوهَ وَلَا يَبْطُلُ وُضُوءُهُ هَذَا مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ الْعُلَمَاءِ كَافَّةً وَحَكَى الدَّارِمِيُّ فِي الِاسْتِذْكَارِ عَنْ قَوْمٍ أَنَّهُ يَبْطُلُ كَمَا لَوْ زَادَ فِي الصَّلَاةِ وَهَذَا خَطَأٌ ظَاهِرٌ
Maksudnya : “Sekiranya seseorang menambah (basuhan) lebih daripada 3 kali, maka dia telah melakukan perbuatan yang makruh. Namun, (perbuatan itu) tidaklah membatalkan wuduknya. Ini adalah merupakan mazhab kami (Syafie) dan mazhab kebanyakan ulama. Al-Darimi telah menukilkan daripada segolongan ulama di dalam kitabnya al-Istizkar, bahawa wuduk terbatal, sebagaimana (hukum) sekiranya seseorang menambah-nambah (rukun) di dalam solatnya. Pendapat ini telah jelas kesilapannya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/440)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa membasuh anggota wuduk secara melebihi tiga kali basuhan adalah makruh. Akan tetapi, wuduknya tetap sah dan tidak membatalkan wuduknya selagimana air diratakan ke seluruh anggota wuduk dengan sempurna.
Walau bagaimanapun, basuhan tersebut hanya dikira setelah dia sempurna mengalirkan air (membasuh) ke seluruh anggota wuduk berkenaan. Adapun, jika tidak dapat mengalirkan air ke seluruh anggota melainkan dengan dua kali siraman contohnya. Maka, dua kali siraman itu, baru dikira satu kali basuhan. Imam al-Ramli ada menyebutkan bahawa syarat sebelum membasuh untuk kali kedua dan ketiga adalah perlu menyempurnakan basuhan wajib (yang pertama). (Lihat Nihayah al-Muhtaj,1/188)
Marilah sama-sama kita renungi kata-kata Syeikh Mulla Ali al-Qari yang menyatakan berlebihan dalam berwuduk seperti menambah lebih dari tiga kali basuhan, tidak ada kebaikan dalam perkara yang berlebihan tersebut. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 2/421).
Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Basuh 3x sunat, sbb tu bila ustzah kami bg challenge kt budak ambik wuduk guna sebotol air mineral saja... semua dah risau takut air x cukup... ramai org masih keliru
BalasPadamGood info. Ramai belajar benda ni tapi mgkin ada yg dah lupa.
BalasPadamelakkan perkara yang makruh walaupun dalam ibadat...apalagi dalam kehidupan sebenar
BalasPadampernah juga terlebih dari 3x sebab rasa tak yakin. tpi bila dah tau ammi cuba sedaya upaya lalukan air dianggota yg sepatutnya
BalasPadamTerima kasih SR atas perkongsiannya. Kadang ibu pun pernah terlupa dah 3 kali ke belum jd ambil saja sekali lg sebab dah rasa waswas kan.
BalasPadamgood entry..
BalasPadamSetiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di blogsyaznirahim@gmail.com :)
Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at blogsyaznirahim@gmail.com :)
Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.
What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.
Disclaimer: Unauthorized Use of Photos
All photos on this blog are the exclusive property of syaznirahim.com. These images may not be downloaded, copied, reproduced, or used in any form without prior written permission from the owner. Unauthorized use of these photos is strictly prohibited and may result in legal action. If you wish to use any of the photos, please contact me for permission and licensing terms. Thank you for respecting our rights and the privacy of the individuals depicted.
Penafian: Penggunaan Foto Tanpa Kebenaran
Semua foto di blog ini adalah hak milik eksklusif syaznirahim.com. Imej-imej ini tidak boleh dimuat turun, disalin, dihasilkan semula, atau digunakan dalam apa-apa bentuk tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik. Penggunaan foto-foto ini tanpa kebenaran adalah dilarang keras dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang. Jika anda ingin menggunakan mana-mana foto, sila hubungi saya untuk mendapatkan kebenaran dan syarat pelesenan. Terima kasih kerana menghormati hak kami dan privasi individu yang digambarkan.