SOALAN
Assalamualaikum WBT kepada S.S Mufti Wilayah Persekutuan. Mohon maaf, bertanyakan soalan ini kerana sehingga sekarang masih tidak ada lagi jawapan kukuh yang saya dapat. Soalan saya, Apakah hukum jika melakukan tunduk hormat seperti budaya masyarakat Jepun dan Korea atau Tunduk hormat kepada hakim ketika berada di dalam ruang mahkamah atau Tunduk hormat kepada yang dipertua ketika ahli berada di ruang parlimen dan Tunduk untuk cium tangan ketika bersalaman dengan guru atau orang yang tua? Mohon S.S Mufti boleh memberikan jawapan. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
(Surah al-Hajj, 77)
Begitu juga sabda Nabi SAW di dalam sebuah hadis:-
يَا رَسُولَ اللَّهِ الرَّجُلُ مِنَّا يَلْقَى أَخَاهُ أَوْ صَدِيقَهُ أَيَنْحَنِي لَهُ ؟ قَالَ " لاَ " . قَالَ أَفَيَلْتَزِمُهُ وَيُقَبِّلُهُ ؟ قَالَ " لاَ " . قَالَ أَفَيَأْخُذُ بِيَدِهِ وَيُصَافِحُهُ ؟ قَالَ " نَعَمْ "
Maksudnya: “Wahai Rasulullah SAW, seorang lelaki bertemu saudaranya atau sahabatnya lalu menundukkan badannya, Nabi SAW berkata: tidak boleh. Bolehkah dia berpelukan dan bercium? Baginda berkata: tidak boleh. Beliau berkata lagi, bolehkah kita berjabat tangan dengannya? Baginda menjawab: boleh”
(Hadith riwayat Tirmizi, No. 2728)
Hadith ini dinilai hasan
Allah SWT menyatakan secara jelas di dalam Al-Quran bahawa rukuk dan sujud merupakan perbuatan di dalam solat dan ia adalah ibadah khusus hanya kepada Allah SWT bagi mentauhidkan keesaannya, maka perbuatan tersebut adalah haram jika diaplikasikan kepada selain daripada Allah SWT. Bahkan ini diperkuatkan lagi dengan sabdaan Nabi SAW, melarang kepada seseorang yang berjumpa saudaranya untuk tunduk sebagai hormat kepadanya.
Berpandu kepada soalan yang ditanyakan, isunya, apakah hukum jika melakukan tunduk hormat seperti budaya masyarakat Jepun dan Korea atau Tunduk hormat kepada hakim ketika berada di dalam ruang mahkamah atau Tunduk hormat kepada yang dipertua ketika ahli berada di ruang parlimen dan Tunduk untuk mencium tangan ketika bersalaman?
Kami akan menjawab soalan ini mengikut tema supaya jawapan yang diberikan akan menjernihkan kefahaman dan bertepatan kepada persoalan yang ditanya.
Pertama, apakah hukum jika menundukkan badan kerana untuk memuliakan atau menghormati seseorang?
Sebenarnya, isu ini telah lama dibincangkan oleh ulama’ terdahulu. Berikut merupakan kenyataan para ulama’ syafieyah dalam menjelaskan hukum bagi isu ini. Diantaranya:-
Imam Bujairimi menyatakan di dalam penulisannya:
أن الانحناء لمخلوق كما يفعل عند ملاقاة العظماء : حرام عند الإطلاق ، أو قصد تعظيمهم لا كتعظيم الله ، وكفرٌ إن قصد تعظيمهم كتعظيم الله تعالى" .
Maksudnya: Sesungguhnya menundukkan badan kepada makhluk, jika dilakukan ketika bertemu orang-orang besar: maka haram secara mutlak atau berniat membesarkan mereka tidak seperti mengagungkan Allah SWT. Kafir jika sekiranya terdapat niat membesarkannya sama seperti mengagungkan Allah SWT.
(Lihat kitab Tuhfatul al-Habib syarah al-khatib, 110/5)
Imam Bujairimi menyatakan haram jika menundukkan badan kepada orang-orang besar atau para bangsawan kendatipun berniat untuk menghormati atau membesarkannya tidak seperti mengagungkan Allah SWT. Bahkan jika membesarkanya melebihi atau seperti keagungan Allah SWT, dia telah murtad dan menjadi kafir.
Namun begitu, berbeza pula pendapat Imam Nawawi yang menyatakan:
وقال النووي في المجموع : يكره حني الظهر في كل حال لكل أحد لحديث أنس …ولا معارض له، ولا تغتر بكثرة من يفعله ممن ينسب إلى علم أو صلاح ونحوهما
Maksudnya: Makruh menundukkan badan pada setiap hal dan pada setiap sesuatu sepertimana yang terdapat di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas…Tidak ada percanggahan terhadap hal itu dan jangan tertipu dengan banyaknya orang yang melakukannya daripada mereka yang dinisbahkan kepada ilmu atau kebajikan dan seumpama keduanya.
(Rujuk Al-Majmu’ syarh Muhadzab, m/s 21)
Imam Nawawi pula menyatakan perbuatan menundukkan badan adalah makruh dengan niat sekadar untuk menghormati.
Dalam Kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah:
قال العلماء: ما جرت به العادة من خفض الرأس والانحناء إلى حد لا يصل به إلى أقل الركوع - عند اللقاء - لا كفر به ولا حرمة كذلك , لكن ينبغي كراهته
Kata Ulama’: apa yang terdapat pada resam berkenaan menundukkan badan pada had yang tidak sampai kepada rukuk pada keadaan seseorang berjumpa seseorang yang lain ketika berjumpa adalah tidak kafir dan tidak haram dilakukan tetapi ia adalah makruh
(Rujuk kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 23 m/s 135)
Menerusi kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menghukumkan makruh selagi mana menundukkan badan pada had yang tidak sampai kepada rukuk.
Begitu juga pendapat sebahagian ulama’ hambali dalam isu ini, Imam Ibn Muflih al-Maqdisi dalam kenyataannya:
قال: التحية بانحناء الظهر جائزة ...ولما قدم ابن عمر الشام حياه أهل الذمة كذلك فلم ينههم ، وقال: هذا تعظيم للمسلمين
Maksudnya: Menunduk kepala dan badan dengan sebab untuk memuliakan atau menghormati adalah dibolehkan…sepertimana Ibnu Umar tiba di Syam dan melihat kehidupan Ahli Zimmah yang menundukkan badan kepada Ibnu Umar, tetapi beliau tidak melarang mereka kerana itu adalah isyarat penghormatan kepada orang-orang Islam.
(rujuk Kitab Al-Adab As-Syar'iyah, jld. 2, m/s 250)
Konklusi bagi persoalan pertama ini, kami berpendapat hukum bagi seseorang menundukkan kepala dan badan untuk memuliakan atau menghormati orang lain adalah harus tetapi dengan syarat tidak memuliakan dan membesarkan orang itu melebihi atau setaraf dengan keagungan Allah SWT. Begitu juga, tidaklah ia melebihi had atau bertendensi sepertimana rukuk yang dilakukan ketika solat.
Kedua, apakah hukum menundukkan badan kerana untuk mencium tangan ketika bersalaman?
Sepertimana yang telah dinyatakan pada soalan yang pertama, hukum menundukkan badan adalah harus untuk memuliakan atau menghormati. Mencium tangan ketika bersalaman bersama guru atau orang lebih tua adalah satu amalan sunnah. Ini adalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Zari’, beliau menceritakan:
لَمَّا قَدِمْنَا الْمَدِينَةَ فَجَعَلْنَا نَتَبَادَرُ مِنْ رَوَاحِلِنَا فَنُقَبِّلُ يَدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَرِجْلَهُ
Maksudnya: Sewaktu kami tiba di Madinah, kami berlumba-lumba untuk turun dari tunggangan kami dan kami mencium tangan dan kaki Baginda SAW.
(Hadith riwayat Sunan Abi Daud, No. 5225)
Sheikh Abu Dawud Sulaiman Al-Ujaili Al-Jamal menyatakan:
وتقبيل نحو الرأس أو يد أو رجل كذلك ويندب ذلك لنحو علم أو صلاح أو شرف أو ولادة أو نسب
Maksudnya: Mencium pada kepala atau tangan atau kaki adalah sunat atas sebab keilmuannya, kesolehannya atau kemuliaan atau kelahirannya atau keturunan
(Rujuk Kitab Hasyiah Jamal, jld.5, m/s 184)
Begitu juga pendapat Imam Nawawi yang menyatakan:
يستحب تقبيل يد الرجل الصالح والزاهد والعالم ونحوهم من أهل الآخرة. وأما تقبيل يده لغناه وشوكته ووجاهته عند أهل الدنيا بالدنيا ونحو ذلك فمكروه شديد الكراهة
Maksudnya: Disunatkan mencium tangan orang-orang soleh, zuhud, orang alim dan sebagainya dari kalangan ulama ahli akhirat. Adapun mencium tangan seseorang kerana kekayaannya atau kekuatannya atau kerana pangkatnya yang berhubungan dengan dunia dan sebagainya maka hukumnya adalah tersangat makruh.
(Rujuk Kitab Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, jld. 6, m/s 21)
Bahkan selari juga pandangan Sheikh Sayyid Abdurrahman bin Muhammad Ba'alawi menyatakan:
وقال الحافظ العراقي: وتقبيل الأماكن الشريفة على قصد التبرك وأيدي الصالحين وأرجلهم حسن محمود باعتبار القصد والنية
Imam Al-Hafiz Al-Iraqi berkata: Mencium tangan atau kaki orang-orang yang dianggap mulia dengan tujuan untuk mendapat berkat (tabarruk) adalah perbuatan baik dan terpuji berdasarkan tujuan dan niatnya
(Rujuk Kitab Bughyatul Mustarsyidin, m/s 638)
Kesimpulan bagi isu ini, hukum menundukkan badan dengan niat dan tujuan bagi memuliakan atau menghormati seseorang adalah harus. Namun begitu, dengan syarat tidak memuliakan dan membesarkan orang itu melebihi atau setaraf dengan mengagungkan Allah SWT. Begitu juga, tundukkan itu adalah tidak melebihi had atau bertendensi sepertimana rukuk yang dilakukan ketika solat. Selain itu, mencium tangan ketika bersalaman untuk mendapatkan keberkatan adalah sunnah. Kendatipun begitu, haruslah mengikut batasan diantara lelaki dan wanita iaitu dari sudut mahramnya.
WallahuA’alam.
sebelum ni tak tahu pula hukum dia, kita main buat je sebab nak ikut budaya orang
BalasPadamSetiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di blogsyaznirahim@gmail.com :)
Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at blogsyaznirahim@gmail.com :)
Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.
What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.
Disclaimer: Unauthorized Use of Photos
All photos on this blog are the exclusive property of syaznirahim.com. These images may not be downloaded, copied, reproduced, or used in any form without prior written permission from the owner. Unauthorized use of these photos is strictly prohibited and may result in legal action. If you wish to use any of the photos, please contact me for permission and licensing terms. Thank you for respecting our rights and the privacy of the individuals depicted.
Penafian: Penggunaan Foto Tanpa Kebenaran
Semua foto di blog ini adalah hak milik eksklusif syaznirahim.com. Imej-imej ini tidak boleh dimuat turun, disalin, dihasilkan semula, atau digunakan dalam apa-apa bentuk tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik. Penggunaan foto-foto ini tanpa kebenaran adalah dilarang keras dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang. Jika anda ingin menggunakan mana-mana foto, sila hubungi saya untuk mendapatkan kebenaran dan syarat pelesenan. Terima kasih kerana menghormati hak kami dan privasi individu yang digambarkan.