Lambat
2.10pm.
Aku yang baru belajar membaca waktu di jam tangan analog pada ketika itu. Seperti hari-hari kebiasaan, cuaca memang panas pada waktu-waktu petang begini. Berteduh pula di bawah sebatang pokok yang masih di tahap remaja umurnya, dengan daun yang tidaklah begitu rimbun, memang menambah bahang yang dirasa.
Jalan utama di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya itu lengang. Berbeza dengan ketika aku keluar dari bilik darjah tadi. Hiruk pikuk, dan penuh dengan kereta-kereta ibubapa yang datang menjemput anak masing-masing. Ada juga budak kelas aku yang tidak dijemput ibubapa, tapi pemandu peribadi yang datang. Status sosial kanak-kanak yang bersekolah disini boleh tahan jugak tau!
"Mana atok ni. Dah sejam Nie tunggu atok kat sini. Selalu atok mesti sampai dalam pukul 1.30", aku mula berdiri, tak nak lagi aku bersila di atas rumput bawah pokok tu.
Hati kanak-kanak aku dah mula risau, tak, aku tak risaukan langsung keselamatan atok. Aku masih kecil masa tu, aku tak pernah fikir atok akan ditimpa musibah semua tu, tak tercapai lagi dek akal aku masa tu.
Apa yang aku risau?
Aku risau atok lupa. Ya, aku syak atok terlupa nak ambil aku. Sebab atok leka bawak teksi.
Berbekalkan syak wasangka yang naif tu, aku pikul beg sekolah, aku mula berjalan kaki.
Macam yang aku cerita dulu, masa zaman sekolah rendah ni, aku tinggal di Flat Sri Pahang masa mak dan abah aku pergi kerja. Setiap pagi, atok akan hantar aku ke sekolah, dan akan jemput lepas sesi persekolahan tamat. Sementara aku kat sekolah, atok sebenarnya adalah seorang pemandu teksi.
Jarak sekolah aku dengan flat adalah lebih kurang 5 minit naik kereta. Boleh tahan dekatnya.
Maka disebabkan jarak yang dekat tu, aku selalu rasa, aku mampu nak berjalan kaki dari sekolah tu, balik ke flat.
Dan, disebabkan juga kerisauan aku yang atok dah terlupa nak ambil aku tu, aku pun mengambil keputusan untuk berjalan saja pulang ke rumah nenek.
Dalam perjalanan, aku jumpa dengan satu public phone. Aku seluk poket pinafore sekolah aku, ada baki syiling lebihan duit belanja yang mak bagi pagi tadi. Beg sekolah aku campak ke rumput, perlahan-lahan aku dail nombor telefon rumah nenek. Nak pastikan yang atok betul-betul ada kat rumah, dan dia memang lupa dah kat cucu sulung dia ni.
"Hah, kenapa kau telefon ni?", tanya nenek sebaik saja aku cakap hello.
"Atok tengah buat apa? Atok lupa jemput Nie ni nek"
"Apa?? Mana ada atok kau kat rumah ni! Kau jangan pergi mana-mana, tunggu balik bawah pokok tu!", nenek sempat memarahi aku walaupun dari nada suara dia, dia kedengaran risau.
Aku serba salah. Panas ni. Nak tunggu sampai bila?
Sebaik gagang aku sangkut balik, aku ternampak teksi atok membelok laju. Muka atok cemas. Aku boleh nampak muka atok kemerah-merahan, lagi pun masa tu, atok tak tutup tingkap.
Sebaik saja dia ternampak aku dekat public phone tu, dia terbrek mengejut. Mujur tak ada kereta lain kat belakang teksi dia.
"MASUK!", atok meninggikan suara. Jarang sekali atok marah aku, tapi kalau dia dah marah ni, faham-faham lah, big trouble!
"Kan atok dah kata, jangan pergi mana-mana!", atok melepuk lengan aku sebaik saja aku duduk di sebelah dia. Aku mula cebik, dan aku menangis.
Sudahlah aku kepanasan, kena marah pulak. Fikir aku masa tu.
Atok diam je sepanjang lima minit perjalanan ke rumah. Sesekali aku tengok, dia mengurut dada.
Sampai di perkarangan letak kereta, aku terus naik tanpa tunggu atok.
Aku merajuk. Bagi aku masa tu, aku tak salah. Atok yang salah, sebab dia lambat.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Aku terus masuk ke bilik air untuk mandi. Niat sebenar, aku nak sambung menangis dalam bilik mandi.
Dari dalam bilik mandi, aku dengar atok dah sampai ke rumah. Nenek dari tadi cuma bereaksi biasa, aku pun tak cerita yang aku kena marah dengan atok.
"Nie telefon tadi, dia takut atok lupa dia kata", nenek memberitahu atok.
"Melampau budak tu, dia dah sampai simpang tepi petronas"
"Ya Allah, iya ke tok? Aku ingat dia telefon dari dalam sekolah! Ya Allah.."
"Iya. Geram betul aku. Nasib baik dia tak apa-apa masa lintas jalan besar nak sampai ke pondok telefon tu, kereta sentiasa banyak", ya, aku terbayang masa aku melintas tu, aku lari je sampai kena honk dengan beberapa kereta.
"Kau lambat kenapa, tok?", tanya nenek.
"Ada orang nak pergi Bangi, aku dekat UIA masa tu. Aku ingat sempat.."
Sumpah, masa ni, aku memang tak tau Bangi tu jauh dari Bangsar..
Gambar pinjam dari blog orang: http://ayerlamned.blogspot.my/ |
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Duduk atas baldi
Senario yang lebih kurang sama dengan cerita di atas.
Keluar dari pagar sekolah, tunggu atok bawah pokok remaja tu.
Cuaca sama, panas.
Yang membezakan senario kali ini dengan cerita di atas, adalah pada pagi tadi, aku bangun lambat.
Mandi dan bersiap dalam keadaan yang pantas dari biasa.
Manakan tidak, nak bertolak dari Balakong ke Bangsar pun dah mengambil masa yang lama, belum campur jalan sesak dan sebagainya.
"Mana atok ni..", aku gelisah. Jam analog di pergelangan tangan aku menujukkan waktu 1.30pm. Tak adalah lambat mana kalau diikutkan, kereta-kereta ibubapa yang lain pun masih ada menjemput anak masing-masing.
Kedua-dua tangan aku tekupkan ke perut. Tali pinggang pinafore ku tanggalkan, aku masukkan dalam beg sekolah.
Aku tidak keruan.
Sekejap aku berdiri.
Sekejap aku duduk.
Sekejap aku berjalan-jalan mundar-mandir mengelilingi pokok remaja tu.
Sekejap aku buat-buat belek buku cerita yang aku bawak ke sekolah.
Peluk mula merecik di dahi, lebih dari kebiasaan.
Kentut? Dah lebih dari sepuluh kali rasanya aku kentut.
Kentut yang 'panas' tu, yang memang menandakan, sikittttt je lagi, angin akan keluar bersama objek lain.
Semuanya sebab aku terlambat bangun.
Bukan je kena marah dengan mak, malah aku tak sempat berak pagi tadi.
T____T
Di saat-saat macam ni, masa terasa berlalu dengan lambat sekali..
tik....tok....tik....tok...
Arghh...
Atok cepatlah atok...
Dan, kudrat kanak-kanak aku tak mampu nak menahan objek tu lagi.
"Pruttt.."
Aku termelepas dalam spender.
Ya, seorang kanak-kanak perempuan comel yang memakai baju sekolah pinafore, berak dalam spender.
T_____T
Tak lama selepas tu, dalam beberapa minit je, atok pun sampai.
Aku bukak pintu belakang teksi hitam kuning tu, aku lempar beg sekolah ke atas tempat duduk.
Aku tau, aku tak boleh duduk atas seat sebelah atok.
Gila nak duduk, melepet la nanti!
"Atok..Nie berak dalam spender"
"Lailahaillallah... kenapa sampai terberak?"
"Nie tak tahan, pagi tadi tak sempat berak"
"Kenapa tak berak kat sekolah?"
"Nie malu..", ya, rasa tercalar ego seorang aku, bila kawan-kawan aku tau yang aku nak pergi berak nanti. Entahlah, mungkin masa ni aku fikir kawan-kawan aku keturunan yang tak ada bontot kot.
Atok turun dari kereta, dia bukak bonet belakang teksi dia. Dia keluarkan baldi kecil warna merah yang dah lusuh. Baldi tu dia selalu guna untuk isi air dan lap teksi dia setiap pagi. Aku tau, sebab setiap pagi bila aku sampai kat Bangsar, atok mesti tengah lap teksi dia bertemankan baldi kecil merah tu.
Atok bentangkan surat khabar atas seat sebelah dia, lepas tu dia letak baldi kecil merah tu.
"Hah, kau duduk atas ni. Duduk elok-elok, jangan jatuh, jangan jatuhkan taik kau!"
Maka aku pun duduk atas baldi selama lima minit sementara nak sampai ke rumah nenek.
Mencabar gila, terhuyung-hayang, dan yang paling challenging, bau. Huk huk..
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
"Nek..oh nek! Bukak pintu cepat", aku mengetuk pintu laju-laju.
Aku malu, tadi masa naik lif, ada dua tiga makcik dan pakcik dalam tu yang tutup hidung. Diorang tertanya-tanya siapalah yang dalam lif tu yang busuk.
"Cucu pakcik ni ha, dia berak dalam seluar"
Dan, atok pun sangatlah jujur.
T____T
Berderai hilai tawa dalam lif tu tadi, aku tak mampu nak angkat muka.
"Apa yang macam nak roboh pintu rumah aku kau ketuk ni?"
"Cucu kau berak dalam seluar, Ton", atok sengih.
"Ada-ada je kau ni Nie! Dah basuh ke belum?"
"Belum, ada taik ni", tangan aku tunjukkan ke bahagian punggung.
"Ya Allah, yang atok pun kenapa tak dibuang dulu spender tu tadi, pergilah bilik air kat sekolah tu basuh dulu!"
"Iya tak ya jugak, Ton. Aku tak terfikir pulak tadi. Aku suruh dia duduk atas baldi", atok ketawa.
"Itu boleh pulak kau fikir, tok!", nenek marah.
Agaknya atok pun dah panik masa tu.
Yang pasti, kisah aku terberak dalam spender ni jadi bahan mengusik aku berbulan-bulan jugak.
T___T
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Malu
"Atok, jangan hantar Nie depan gate sekolah tau. Atok hantar jauh sikit"
"Kenapa?"
"Nie malu sebab pergi sekolah naik teksi..."
Atok gelak je. Tapi mungkin dia kecik hati.
Aku bodoh dan naif masa tu, aku rasa pergi sekolah naik teksi tu adalah perkara yang memalukan.
Petang tu, sebaik saja sampai rumah aku kat Balakong, abah panggil.
"Nie cakap apa kat atok?", suara abah sedikit meninggi. Dan masa tu, aku pasti, mesti atok dah cerita kat nenek, nenek cerita kat mak, dan mak cerita kat abah, pasal aku malu pagi tadi tu.
Dan, kalau abah yang dah panggil, siaplah.
"Nie malu..kawan-kawan semua bapak diorang hantar naik kereta besar", aku memang tak faham lagi erti kehidupan masa ni.
"Jangan cakap macam tu kat atok. Jangan biadap dengan atok. Atok dah jemput hantar, tak patut cakap macam tu kat atok!", abah marah aku.
Aku menangis. Aku tak tau perkara tu besar. Aku tak tau aku boleh kecik kan hati atok.
Kalau aku tau, aku tak cakap. Fikir aku masa tu.
"Nie tau tak, kawan-kawan Nie semua jeles dengan Nie tau. Nie la yang paling kaya, sebab hari-hari pergi sekolah naik teksi. Bukan semua orang ada duit nak naik teksi tau!", abah cuba kaedah psikologi kat aku.
Dan sebagai seorang kanak-kanak naif, aku senyum.
Dan aku sangat gembira pergi sekolah naik teksi hari-hari.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Bas Sekolah
"Best ke pergi sekolah naik bas sekolah tu Tok?", soal aku kepada atok, suatu hari sewaktu dalam perjalanan ke sekolah.
"Tak bestlah, berhimpit-himpit. Kalau lambat kena berdiri"
Tapi, seorang kanak-kanak kan, yang orang kata tak boleh, tak best tu lah, yang dia nak rasa.
"Kenapa Nie tak naik bas sekolah tok?"
"Sebab atok kan ada, atok hantar kan. Balik atok jemput, kan senang"
"Ooh.. Nanti atok dah tak ada, Nie naik bas sekolah ye?"
"Iya la kot, atok pun tak tau, sebab atok dah tak ada masa tu"
"Ok, atok matilah cepat. Boleh Nie naik bas sekolah"
Atok ketawa. Kami ketawa.
Aku tak dapat tahan air mata setiap kali aku teringat cerita pasal bas sekolah ni.
Benda dah berlaku lama, lebih dari 20 tahun.
Tapi, kenangan perbualan pasal kenapa aku tak naik bas sekolah ni, masih segar.
Sebab, aku bodoh.
Masa tu, aku tak sedar pun, aku bodoh.
Kalaulah ada mesin cahaya masa, ini antara perkara pertama yang aku nak ubah dalam sejarah hidup aku. Aku akan pastikan, aku bagitau kepada aku masa ni, supaya jangan cakap macam tu.
How I wish I didn't said that.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Dah 12 tahun atok tinggalkan Nie.
Nie tak sempat balas jasa atok..
Semoga tenang atok di sana, disisiNya.
Rindu atok, sentiasa.
Manakan kita boleh lupa, orang yang bersusah payah jaga kita kan?
Al-Fatihah Hj Joned Bin Agam <3
Aku dan atok, 1987. |
Setiap ulasan yang ditulis adalah dibawah tanggungjawab yang memberi komen. Sekiranya mahu berhubung dengan saya, hubungi saya di blogsyaznirahim@gmail.com :)
Every comment written is under the responsibility of the commenter. If you want to contact me, reach me at blogsyaznirahim@gmail.com :)
Apa yang saya tulis di blog ini dahulu, saya sendiri mungkin sudah tidak bersetuju dengan content itu pada hari ini. Semestinya segala penulisan dalam blog ini tidak sesuai untuk dijadikan rujukan (citation/reference) dalam penulisan artikel / jurnal saintifik. Pemilik blog tidak bertanggungjawab sekiranya isi kandungan blog ini diambil sebagai rujukan akademik.
What I wrote on this blog before, I may not agree with the content today. Certainly all writing in this blog is not suitable to be used as a reference (citation/reference) in the writing of scientific articles/journals. The owner of the blog is not responsible if the content of this blog is taken as an academic reference.
Disclaimer: Unauthorized Use of Photos
All photos on this blog are the exclusive property of syaznirahim.com. These images may not be downloaded, copied, reproduced, or used in any form without prior written permission from the owner. Unauthorized use of these photos is strictly prohibited and may result in legal action. If you wish to use any of the photos, please contact me for permission and licensing terms. Thank you for respecting our rights and the privacy of the individuals depicted.
Penafian: Penggunaan Foto Tanpa Kebenaran
Semua foto di blog ini adalah hak milik eksklusif syaznirahim.com. Imej-imej ini tidak boleh dimuat turun, disalin, dihasilkan semula, atau digunakan dalam apa-apa bentuk tanpa kebenaran bertulis daripada pemilik. Penggunaan foto-foto ini tanpa kebenaran adalah dilarang keras dan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang. Jika anda ingin menggunakan mana-mana foto, sila hubungi saya untuk mendapatkan kebenaran dan syarat pelesenan. Terima kasih kerana menghormati hak kami dan privasi individu yang digambarkan.