Lokasinya aku tak ingat, tapi somewhere di Perak.
Masa ni, kira-kira 25, 26 tahun yang lepas, kami masih lagi balik ke kampung abah di Alor Setar menggunakan jalan lama. PLUS masih dalam proses pembinaan mungkin.
Jadi, apabila sudah berjam-jam aku kepeningan di dalam kereta, abah pun sudah mula letih, kereta pun perlu direhatkan enjin dia sekejap, maka kami pun akan singgah di kedai makan, untuk recharge, pergi ke tandas dan sebagainya.
Aku yang masih mamai sebab tidur dalam kereta, masih tak terfikir nak makan apa.
Nak makan apa?
Macam tak lapar sangat je.
Mata aku melilau-lilau memandang sekeliling deretan kedai makan yang ala-ala RNR.
Ada macam-macam menu yang terpapar di dinding dan kain rentang kedai masing-masing.
Manusia yang menjamu selera di meja masing-masing pun boleh tahan ramainya, ada yang bersendirian, ada juga yang bersama keluarga dan anak kecil.
Aku yang baru pandai mengeja masa tu membaca kesemua menu yang dipaparkan satu persatu.
Nasi ayam.
Nasi lemak.
Mee goreng.
Mee sup.
Senang cerita, ada banyak menu yang boleh dipilih untuk mengisi perut.
Tapi, mata aku tertarik dengan satu papan tanda putih bertulisan merah.
Dua patah perkataan yang tertera di atas papan tanda tu betul-betul menaikkan selera aku.
Nasi campur.
"Mak, Nie nak makan nasik campur kedai tu", jari telunjuk aku hala kan ke kedai tersebut.
"Ok. Nak lauk apa?", ala mak ni, penting ke lauk? Apa-apa je lah.
"Lauk telur mata kerbau je. Nasik campur"
"Ok"
Dan aku pun lihat mak berjalan membeli nasi yang aku pinta.
Seronok!
Aku tak pernah makan nasik campur sepanjang 5 tahun aku hidup!
Selalu kalau mak dan abah bawak pergi kedai makan, diorang mesti order kan aku mee sup.
Ah, kali ni aku taknak mee sup.
Aku nak cuba sesuatu yang baru.
Nasi campur, how cool is that!
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
"Nah, pergi sinki tu basuh tangan dulu", arah mak sebaik saja dia letakkan sepinggan nasi putih yang ada sedikit kuah kicap dan telur mata.
Kening aku berkerut, sebab aku hairan. Kenapa mak bawa nasi putih dengan telur je?
"Ni nasik siapa?", aku tanya, untuk kepastian.
"Nasik kau lah"
"Satu je nasik?"
"Ye lah, kalau dah habis nanti, nak tambah, baru mak pergi tambah"
"Nasik yang lain dah habis ke?"
"Apa yang habis?"
"Kenapa dia tak campur?"
"Campur apa?"
"Campur nasik lah?"
"Campur apa? Nak lauk lain lagi ke?", mak dah semakin pening. Abah pun dah angkat tangan, panggil brader waiter kedai tu datang. In case aku nak tambah lauk lain, agaknya dia nak suruh brader tu je ambilkan.
"Campur semua nasik la", aku masih tak puas hati. Kenapa macam ni?
Brader waiter dah berdiri sebelah meja, terpinga-pinga kenapa agaknya abah panggil dia.
Emak dan abah pun masih pening lagi melayan aku, apa yang aku nak sebenarnya?
"Kenapa dik?", tanya brader tu.
"Nak nasik lain sekali. Nasik campur-campur", jawabku, polos.
"Campur macam mana, cuba habaq kat abang?", brader tu cool orangnya, senyum je.
"Campur semua nasik lah. Nasik ni, nasik ayam, nasik lemak, nasik tomato.."
Tak sempat aku habiskan senarai jenis nasik yang aku tau, terburai gelak tawa semua orang yang ada kat meja tu.
Ok, rupanya semua tengah gelakkan aku ni.
Ok, sila tahan, jangan menangis. Eh sedih tau bila orang gelakkan kita..huhu..
"Nasik campuq tu, nasik buh lauk dik", brader tu masih gelak-gelak.
"Nasik campur tu sama macam nasik makan kat rumah la, Nie", abah menambah.
La, macam tu ke?
Mana la aku tau. Serius aku bayangkan nasik campur tu adalah gabungan beberapa nasik yang digaul atas satu pinggan. Sumpah, itu yang aku fikir masa tu.
"Lain kali tulis la 'Nasi Campur Lauk' kat sana", aku mencebik.
Tak cool langsung Nasi Campur ni rupanya.
Nenek pun boleh buat!
Penipu punya kedai, musnah harapan aku nak makan Nasik Campur!